Rabu, 22 Februari 2012

Liciknya Robert Kuok

Gula Mungkin Tidak Manis Bagi Felda
A Kadir Jasin

[Kalau guna “anonymous” tolong beri nama sebenar atau nama samaran di awal dan akhir ulasan. Komen “anonymous” tidak akan disiarkan.]

RAMAI pembahas meminta saya mengulas mengenai cadangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menjual saham anak syarikatnya, Felda Global Ventures Berhad (FGV), di pasaran terbuka dan menyenaraikannya di Bursa Malaysia.

Saya masih tidak bercadang membincangkannya, selain membuat kenyataan fakta berikut:

1. Felda wajib menjual sekurang-kurangnya 25 peratus saham FGV kepada umum melalui tawaran awam permulaan atau initial public offering (IPO) sebelum boleh menyenaraikannya di Bursa Malaysia;

2. Tetapi Felda boleh menjual lebih daripada peratusan itu dan menyenaraikannya di lebih daripada sebuah pasaran melalui “secondary listing”;

3. Dengan baki 75 peratus, Felda masih menguasai FGV kerana pegangan saham minimum yang diperlukan oleh Felda untuk menguasai dan menguruskan FGV adalah 33.3 peratus;

4. Dengan melakukan IPO, Felda boleh mengumpul modal baru. Modal itu boleh digunakan sendiri oleh Felda atau “dipinjamkan” kepada FGV untuk dilaburkan dalam projek-projek baru;

5. Dalam proses IPO, banyak pihak berpeluang mendapat pendapatan/keuntungan dalam bentuk keuntungan modal (capital gain), komisen dan yuran perundingan; dan

6. Sesiapa yang berkedudukan baik atau bernasib baik dan dapat borang merah jambu (pink form), walaupun tidak ada modal, masih boleh “gadai” dan dapat habuan up-front.

Pembelian MSM Daripada Kuok
Yang membimbangkan ialah kemungkinan dasar, strategi dan pelaksanaan kegiatan komersial Felda melalui FGV tidaklah secekap yang didakwa dan diharapkan.

Saya telah mengulas di sini dan di ruangan-ruangan lain mengenai pembelian perniagaan gula Robert Kuok di Malaysia oleh FGV pada tahun 2009 dengan harga RM1.5 bilion, pada saat-saat perjanjian pembelian gula mentah pada harga murah daripada Australia akan berakhir. Malaysia mengimport 90 peratus keperluan gulanya dan Australia adalah antara pembekal utama.

FGV membeli Malayan Sugar Manufacturing (MSM) dan ladang gula Chuping di Perlis daripada Kuok. Tahun lalu, FGV menjual sebahagian sahamnya dalam MSM melalui IPO dan menyenaraikan semula MSM di Bursa Malaysia. Besar kemungkinan FGV telah membuat keuntungan modal daripada penjualan itu.

Dua tahun kemudian, pada tahun 2011, Kuok, melalui syarikat perladangannya, Wilmar yang berpangkalan di Singapura, membeli syarikat pengeluar gula mentah terbesar Australia, CSR, dengan harga A$1.75 bilion (kira-kira RM5.25 bilion).

Kalau dulu Kuok memonopoli perniagaan gula di Malaysia, kini beliau mengusai salah satu punca bekalan gula terbesar di dunia. Beliau kini dianggarkan menguasai 10 peratus perdagangan gula dunia.

Kalau MSM terus membeli gula dari Australia, kemungkinan besar ia membelinya daripada Kuok. Begitulah liciknya “Raja Gula” kelahiran Malaysia, tetapi berpangkalan di Hong Kong itu.

Kekhuatiran mengenai pembelian MSM oleh FGV terbukti apabila harga gula mula naik dan Kerajaan terpaksa memikirkan semula dasarnya untuk mengurangkan subsidi.

Beberapa hari lalu, CIMB Research, cawangan penyelidikan CIMB Bank, meramalkan kesan negatif kenaikan harga gula terhadap MSM, walaupun Kerajaan bersetuju menaikkan kadar subsidi.

Ia mengulas yang kenaikan kadar subsidi (sebanyak 20 sen sekilo kepada 54 sen mulai awal bulan ini) tidak dapat menampung kenaikan harga yang ditanggung oleh MSM.

Ini adalah beban berganda. Walaupun Kerajaan menaikkan kadar subsidi bagi mengekalkan harga pengguna, namun kesannya kepada MSM masih negatif.

Keadaan adalah rumit. Kalau kadar subsidi tidak ditambah, harga runcit gula akan naik dan nama Felda akan busuk. Kalau nama Felda busuk, nama Perdana Menteri pun busuk juga kerana beliau adalah “mentor’ Felda.

Walaupun perniagaan gula adalah monopoli, tetapi sejak awal lagi saya berasa pembelian SMS oleh FGV kurang strategik kerana masalah bekalan gula dunia semakin meruncing dan pengguna tempatan pula sangat sensitif terhadap kenaikan harga.

Juga, sebarang masalah dengan FGV juga boleh menjejaskan kebajikan peneroka dan kakitangan Felda kerana mereka memiliki 51 saham FGV melalui Koperasi Permodalan Felda. Bagi saham FGV dimiliki oleh Felda sendiri.

Sejak dulu lagi saya berasa lebih tepat kalau perniagaan gula dikendalikan oleh sektor swasta. Setidak-tidaknya Kerajaan boleh mengalihkan beban kenaikan harga kepada mereka.

Di pihak lain, ada kebaikan kepada kenaikan harga gula kerana pengguna Malaysia berlebihan menggunakan bahan itu. Selain itu, Kerajaan wajar memikirkan semula dasar subsidi bahan itu kerana, kalau tidak silap saya, pengguna industri dan perdagangan pun menikmati subsidi gula.

Saya cadangkan, cuba minum kopi atau teh tanpa gula atau kurangkan kemanisannya. Bagi saya, rasanya lebih sedap. Saya sudah berdekad-dekad tidak makan gula dan susu pekat manis atas pilihan, bukan kerana penyakit. Di Malaysia, ramai orang berkata mereka kopi atau teh. Tetapi sebenarnya mereka minum air sirap (air gula) berperasa kopi atau teh.

Wallahualam.

Selasa, 21 Februari 2012

Mengumpul isu NFC

SATURDAY, NOVEMBER 19, 2011

NFC dan kondo mewah, antara lembu dan manusia
Isu ladang ternakan negara yang dikatakan bakal memberi sumbangan besar kepada industri makanan, National Feedlot Corporation [NFC] yang diketuai oleh suami Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, memasuki fasa siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan [CCID].

Isu NFC bangkit ekoran laporan Ketua Audit Negara yang kurang berpuas hati dengan perjalanan dan pencapaiannya yang disifatkan oleh Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail sebagai kurang tepat.

Yang menarik perhatian seperti yang dibangkitkan oleh Parti Keadilan Rakyat dan PAS ialah pembelian dua buah unit kondo lampau mewah di Bangsar, yang diberi nama One Menerung, pada harga RM6.9 juta seunit [PKR kata RM9.8 juta].

NFC yang diberi pinjaman mudah RM250 juta oleh Kerajaan Persekutuan semasa ditadbir oleh Tun Abdullah Ahmad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pertanian, untuk membangun dan memajukan industri ladang ternakan lembu, sebenarnya tiada kepakaran untuk mengusahakannya.

Dr Salleh mungkin berjaya dalam membangun dan memajukan Taman Teknologi Malaysia atau TPM yang diterajuinya selama 18 tahun, tetapi tiada kepakaran dalam industri ternakan atau perladangan ternakan. Itu yang jelas. Oleh itu, banyak yang hairan bagaimana seorang yang tiada kepakaran atau pengalaman boleh diberi kepercayaan untuk mengusahakan sebuah ladang ternakan seluas 607 hektar di Gemas, Negeri Sembilan.

Tetapi, apa yang menarik perhatian umum ialah pembelian dua buah kondo lampau mewah di Bangsar yang disifat oleh Dr Salleh sebagai satu pelaburan yang baik untuk NFC walaupun ia melibatkan pelaburan RM13.8 juta daripada wang pinjaman RM250 juta yang diamanahkan oleh kerajaan.

Dr Salleh berkata pembelian dua buah kondo itu akan memberi pulangan lebih baik berbanding dengan jika wang tersebut disimpan dalam akaun simpanan tetap.

Beliau berhujah andai kata RM13.8 juta dimasuk dalam deposit tetap atau simpanan tetap bank pada kadar faedah 2.7 peratus setahun, NFC akan mendapat pulangan RM379,000 manakala pulangan daripada sewaan dua unit kondo mewah itu sebanyak RM360,000 setahun. Media melaporkan Dr Salleh sebagai berkata sewaan bulanan yang diperolehi adalah RM30,000 sebulan.

Tetapi, apabila penilai/pentaksir harta profesional menolak nilai sewaan yang disebut itu kerana menurut mereka, nilai paling tinggi yang boleh dicapai tidak melebihi RM24,000 dan mustahil untuk mencapai RM30,000 sebulan, Dr Salleh lantas menyatakan yang dia disalah petik oleh sesetengah media. Katanya, sewaan yang diterima ialah RM18,000 dan RM17,000 sebulan untuk dua unit kondo berkenaan.

Beliau juga menjelaskan bahawa kondo berkenaan dibeli dengan mendapat diskaun 20 peratus dan pembelian tersebut adalah satu urus niaga yang baik untuk NFC.

Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang meneliti isu NFC mendapati ia tiada kaitan dengan undang-undang di bawah SPRM tetapi ada kaitan dengan Kanun Keseksaan dan oleh itu menyerah kes tersebut kepada PDRM. Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan PDRM sedang menyiasat dan kita tunggu apa keputusannya.

Dalam pada itu, Muhyiddin dan Pak Lah, menolak desakan pembangkang dan beberapa NGO supaya Shahrizat, suami Dr Salleh melepaskan jawatan Kabinetnya. Mereka berkata Shahrizat tiada kaitan dengan pemberian pinjaman RM250 juta kepada NFC yang dikuasai oleh suami dan keluarganya.

Itu kata mereka.

Cuba ingat kembali Amil yang dipenjarakan kerana mengunakan wang zakat di negeri johor. Ingat kan

THURSDAY, JANUARY 12, 2012

Mufti WP kata tak salah guna wang zakat
Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata wang zakat boleh diguna bagi perbelanjaan undang-undang di bawah asnaf fisabilillah.


Kita hormati dan akur akan pendapat mufti yang arif lagi bijaksana itu. Tetapi, ia bukan bererti kita tidak boleh persoalkan kebijaksanaan dan kewarasan berkaitan perkara itu, walaupun kita bukan bertaraf mufti atau ulama yang waraq dalam segi hukum-hakam agama.

Mufti, melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), menegaskan bahawa penggunaan wang zakat untuk kos guaman dalam kes qazaf yang difailkan oleh ketua pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej-Jen (B) Jamil Khir Baharom dan dua pegawai jabatan berkenaan, adalah mengikut hukum syarak dan selaras dengan undang-undang yang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan.

Fisabilillah, hujah mereka adalah segala yang menyentuh kepentingan umat Islam dalam menegakkan urusan agama dan pemerintahan.

Kita ingin bertanya kepada yang bijaksana mufti sama ada kes qazaf yang difailkan itu tidak bertujuan menegakkan urusan agama, mencari kebenaran dan keadilan seperti yang dituntut oleh Islam?

Keadilan dan kesaksamaan dalam mentadbir undang-undang Islam dan hukum syarak tidak seharusnya memihak kepada orang yang didakwa gagal atau tidak mengambil tindakan sewajarnya terhadap kes yang difailkan itu.

Kita sedar akan pengertian fisabilillah atau fi sabil Allah yang diamalkan di Malaysia adalah luas dan tidak hanya merangkumi soal jihad atau perang kerana Allah. Di Malaysia ia bersifat umum dan merangkumi semua kebajikan untuk jalan Allah

Jika dihayati akan pengertian fisabilillah, kita akan dapati bahawa keempat-empat imam mazhab sepakat bahawa jihad itu perang kerana Allah, oleh itu penyaluran wang zakat terhadap tentera yang terlibat dengan jihad adalah harus. Mereka juga sepakat bahawa zakat tidak harus untuk tujuan maslahah umum.

Mazhab Syafie sendiri memfokuskan makna fisabilillah hanyalah untuk jihad (perang kerana Allah) walaupun pengertian jihad kini diperluaskan untuk mencakupi urusan-urusan lain di jalan Allah dengan mengharuskan pembahagian zakat kepada semua bentuk kebaikan seperti mengkafankan mayat dan pembinaan masjid.

Kita dapat fahami bahawa fisabilillah bermaksud maslahah-maslahah umum umat Islam bagi tujuan agama dan negara tetapi bukan untuk persendirian.

Dari kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, kita dapat ertikan bahawa jihad fisabilillah secara umumnya merujuk kepada perjuangan di jalan Allah, melindungi dan memelihara agama serta meninggikan kalimat tauhid seperti berdakwah dan berusaha menerapkan hukum Islam.

Bukankah sepatutnya Jamil Khir Baharom selaku menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam menjalankan tugas yang diamanahkan untuk memelihara agama serta meninggikan kalimat tauhid dengan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kes qazaf berkenaan?

Apa yang berlaku ialah wang zakat digunakan untuk mempertahan apa yang tidak dilakukan dan inilah yang menjadi tanda tanya (?).

Kita ingin dengar dan tahu apa pula kata para mufti di negeri-negeri lain. Adakah mereka sekata dan sehaluan dengan pendirian Mufti Wilayah Persekutuan?

Isu NFC yang menjijikan

MONDAY, JANUARY 16, 2012

Isu NFC - rakyat dah meluat
Isu National Feedlot Corporation (NFC) membabitkan suami dan tiga orang anak menteri kabinet lantikan melalui Dewan Negara, Shahrizat Abdul Jalil, terus diperkatakan dengan lebiah banyak pendedahan oleh Parti KeAdilan Rakyat atau PKR.

Projek yang diberi jolokan 'lembah daging' di Gemas, Negeri Sembilan itu diurus oleh NFC, anak syarikat Agroscience Industries Sdn Bhd dengan membabitkan kepentingan kerajaan (yang sudah pasti memegang amanah bagi pihak rakyat).

Ia mula mendapat perhatian media apabila diberi teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 dan disusuli oleh pendedahan demi pendedahan apa yang dikatakan sebagai 'salahguna' dan 'penyelewengan' oleh PKR.

NFC dikatakan telah 'mengguna' kira-kira RM181 juta daripada RM250 juta pinjaman mudah yang diberi oleh kerajaan untuk projek 'lembah daging' itu. Ia termasuk penggunaan dana kira-kira RM27 juta untuk membeli tanah dan hartanah.

Sejauh mana kebenaran mengenai semua pendedahan itu akan diketahui jika Jabatan Peguam Negara berpuas hati dengan laporan yang dikemukakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pendedahan terbaru oleh Pengarah Strategi PKR, Mohamad Rafizi Ramli memeranjatkan - iaitu suami Sharizat yang juga pengerusi eksekutid NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan tiga orang anak mereka yang menduduki kerusi lembaga pengarah NFC, menggunakan dana NFC untuk membayar bil kad kredit mereka berjumlah RM600,000 pada 2009.

Menurut Rafizi, purata NFC membayar RM10,000 sebulan. Banyak tu!

Mengikut maklumat yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Ipoh Timor, YB Lim Kit Siang, NFC membayar gaji lumayan kepada Dr Mohamad Salleh dan tiga orang anaknya dan berdasarkan habuan bulanan yang mereka perolehi itu, kita hairan kenapa NFC perlu membayar bil kad kredit sebegitu banyak untuk mereka?

Kit Siang berkata gaji bulanan Dr Mohamad Salleh ialah RM100,000, gaji anaknya Wan Shahinur Izmir, 31 tahun, selaku pengarah eksekutif NFC ialah RM45,000 sebulan, gaji seorang lagi anaknya Wan Shahinur Izran, 27 tahun, RM35,000 sebulan dan seorang lagi anak mereka, Wan Izzanah Fatimah, 25 tahun, RM35,000 sebulan. Jumlah keseluruhan gaji yang dibayar oleh NFC kepada suami dan tiga orang anak Shahrizat ialah RM215,000 sebulan.

Oleh itu, Kit Siang berkata pembekuan aset NFC seperti yang diumumkan oleh PM Datuk Seri Najib Tun Razak tidak cukup dan tidak memberi kesan selagi gaji bulanan keempat-empat mereka tidak dipotong daripada sejumlah RM215,000 sebulan kepada RM70,000 sebulan.

Apa yang sedang berlaku membuatkan rakyat semakin meluat dan membenci kerajaan, lebih-lebih lagi apabila Shahrizat sendiri dengan angkuhnya mempertahankan jawatan kabinet dan kerusi Wanita Umno seolah-olah itu bukan urusannya. Bukan masalahnya.

Adalah sesuatu yang pelik jika seorang isteri berkata apa yang berlaku membabitkan keluarganya bukan urusannya. Mustahil dia tidak tahu apa yang berlaku, mustahil dia tidak tahu kemewahan hidup yang dinikmati datangnya dari mana? Rakyat tidak bodoh, rakyat tahu dan rakyat pandai membuat perhitungan apabila tiba masanya kelak.

Projek NFC membabitkan wang rakyat dan ia bukan untuk memberi kemewahan hidup kepada satu-satu keluarga tertentu tetapi untuk kepentingan rakyat. Adakah kepentingan rakyat diambil kira jika dilihat dari segi dana itu dibelanjakan? Sudah tentu tidak!

Bayangkan berapa banyak rumah untuk rakyat daif boleh didirikan dengan peruntukan RM250 juta; berapa banyak bantuan boleh disalurkan kepada ibu tunggal dan orang kelainan upaya yang amat memerlukan bantuan dan pertolongan untuk mendapatkan sesuap nasi bagi menyambung hidup?

Di mana letaknya keadilan dan kesaksamaan dalam mengagih-agihkan wang rakyat sebesar itu? Apakah kerajaan ingin lihat rakyat miskin tegar kelaparan atau hidup bergelendangan? Pasti tidak!

Benar, kerajaan mula mengagih-agihkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 sekali bayaran, tetapi adakah ia sama dengan dana RM250 juta untuk satu keluarga membelanjakannya? Membeli kondo mewah bernilai RM10 juta di Singapura, dua buah kondo mewah di Bangsar, sebuah kereta Mercedes Benz bernilai setengah juta ringgit dan hartanah lain? Membayar bil kad kredit RM600,000.

Rakyat dah bosan. Wanita UMNO pun bosan kerana pergerakan itu dikaitkan oleh Shahrizat sedangkan ia tiada kaitan sama sekali. Ia adalah masalah peribadi atau isu keluarga Shahrizat, bukan masalah Wanita UMNO.

Rakyat bertanya di mana keadilan? Di mana ketegasan PM Najib?

Shahrizat mesti letak semua jawatan termasuk menyerah pucuk pimpinan Wanita UMNO kepada Dato' Hajah Kamilia Dato' Ibrahim. Itupun jika Shahrizat sayangkan parti yang begitu banyak berjasa kepadanya daripada dia sayangkan pangkat dan jawatan. Jika itupun Shahrizat tidak faham, tak tahulah apa nak dikata.

Aku sokong Khoo Kay Kim...supaya hang tuah dikaji, docari dan dibuktikan.

Hang Tuah wujud atau hanya satu unsur mistik?
Tokoh sejarah Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim sekali lagi membangkitkan perdebatan berkaitan sejarah tanah air apabila dia mempersoalkan kewujudan Laksamana Hang Tuah, empat orang rakannya dan puteri China bernama Hang Li Po.

Bagi Prof Khoo, mereka sekadar unsur mistik. Sejarah, baginya, mesti menekan fakta, bukan unsur mistik. Kita terima hujahnya itu kerana itulah yang membentuk sejarah.

Beliau mahukan teks sejarah ditulis semula bagi menyelaraskan dengan fakta dan bukannya mitos atau lagenda. Tiada rekod yang menunjukkan pahlawan Melaka itu benar-benar wujud, katanya.

Saya bukan ahli sejarah atau pengkaji sejarah tetapi apa yang saya pelajari semasa di bangku sekolah adalah sejarah. Hikayat Hang Tuah dan Salatus Salatin ada menyebut mengenai kewujudan manusia bernama Hang Tuah.

Sejarah Melayu menerangkan bahawa Hang Tuah hidup pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah, iaitu pada abad ke-15.

Walaupun Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu mencatat beberapa perbezaan dalam perjalanan hidup Hang Tuah, namun ia tidak menunjukkan bahawa Laksamana Kesultanan Melayu Melaka itu tidak wujud atau hanya satu khayalan apatah lagi unsur mistik.

Kewujudan atau sejarah mengenai Hang Tuah bukan sahaja ada di Tanah Melayu tetapi di Indonesia. Adalah sesuatu yang agak aneh sekiranya sejarawan Malaysia dan Indonesia tidak mengiktiraf kewujudannya sedangkan kesan peninggalannya, sama ada dalam bentuk nyata atau sebaliknya, wujud di kedua-dua negara.

Nama Hang Tuah diabadikan pada beberapa batang jalan di Malaysia dan Indonesia, iaitu di Melaka, Kuala Lumpur, Ipoh dan Johor dan di Padang, Palembang, Medan, Pekanbaru, Riau dan Jakarta.

Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) pernah memiliki sebuah kapal perang bernama KRI Hang Tuah dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pun memiliki sebuah kapal perang bernama KD Hang Tuah.

Kita ingin tahu kenapa Malaysia dan Indonesia memberi penghargaan atau pengiktirafan kepada manusia bernama Hang Tuah sekiranya dia tidak wujud atau hanya satu unsur mistik, seperti yang didakwa oleh Prof Khoo Kay Kim?

Apa yang menarik perhatian saya ialah sepucuk surat yang ditulis oleh Encik Goh Hoe Hoe dari Kuala Lumpur kepada akhbar The New Straits Times (NST) yang menyatakan bahawa dia tidak dapat menerima kenyataan Prof Khoo bahawa Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Li Po tidak wujud.

Goh berkata dokumen sejarah bertulis bukan merupakan satu-satunya sumber untuk membuktikan kewujudan mereka; tetapi unsur lain termasuk lakaran dan cacatan oleh pengembara-pengembara terkenal juga memberi bukti akan kewujudan mereka.

Selain Sejarah Melayu, Goh bertanya sama ada wujud cacatan sejarah sumber lain mengenai Hang Tuah? Ada orang berkata tidak, hanya kerana mereka tidak membaca apa-apa rekod sejarah oleh sarjana Barat.

Saya memahami apa yang diketengahkan oleh Goh iaitu orang lebih mempercayai sarjana Barat dan sekiranya mereka tidak menulis mengenai sesuatu bahan sejarah, maka orang tidak akan percaya walaupun ia dicatat oleh sarjana dari kawasan lain, Timur umpamanya.

Goh menulis bahawa dia telah melihat dalam sebuah buku sejarah 'gambar' sepucuk surat dalam tulisan China yang ditulis oleh Hang Tuah kepada Raja Ryuku (sekarang Okinawa, Jepun). Dalam surat itu, Hang Tuah mengadu mengenai perangai atau kelakuan kurang sopan segelintir pelaut atau anak kapal Ryuku di Melaka.

Rakan Goh dari Okinawa memberitahunya bahawa sebilah keris kepunyaan Hang Tuah ditemui di sebuah rumah ibadat di Okinawa ketika kerja-kerja pemulihbaikan dilakukan.

Apa yang dinyatakan oleh Goh dalam suratnya itu menunjukkan bahawa kewujudan Hang Tuah turut diakui di negara matahari terbit itu. Oleh itu, sejarawan Malaysia seharusnya menyelidiki dan mengkaji bahan bukti yang ada di Okinawa untuk memperkukuhkan kenyataan bahawa Hang Tuah bukan satu unsur mistik atau lagenda, tetapi satu kenyataan.

Soal kewujudan Hang Tuah amat penting bagi sejarah bangsa Melayu walaupun ada beberapa pihak yang mempertikaikan 'bangsa' Hang Tuah, iaitu dia berbangsa Cina, bukan Melayu.

Hasan ali parasit?

Hassan Ali oh Hassan Ali!
Dulu saya hormat Dr Hassan Ali sebagai salah seorang cerdik pandai Melayu yang boleh diteladani. Dia sering muncul dalam rancangan terbitan RTM mahupun TV3 sebagai ahli panel. Dia bijak berkata-kata dan mampu membuatkan orang khusyuk mendengarnya.

Kemudian dia tenggelam setelah cergas dalam PAS. Biasalah dengan dunia penyiaran dan surat khabar Malaysia, orang yang mendokong atau menyokong parti politik yang lain daripada UMNO/BN, tiada tempat dalam media arus perdana.

Dr Hassan Ali kemudian menghadapi sedikit masalah dengan PAS dan dia dipecat tanpa diminta membela diri. Dalam hubungan ini, saya bersimpati dengan nasib yang menimpanya.

Tiba-tiba, Hassan Ali mendapat tempat dalam media elektronik dan cetak yang sama ada dikuasai atau dikawal melalui alat kawalan jauh oleh UMNO. Sekali lagi wajah Hassan Ali muncul dalam sama ada dalam rancangan khas atau segmen berita.

Hassan Ali timbul seolah-olah seperti pulangnya seorang wira dari medan perang. Dia disanjung, dijulang dan diarak ke sana sini untuk menceritakan kepada rakyat jelata akan 'kemenangan' dan 'kepulangan' seorang wira ke pangkuan ibu pertiwiwi.

Begitulah hebatnya manusia bernama Hassan Ali dan begitu jua hebatnya ranjau perjuangan yang dilaluinya dalam gelanggang politik.

Kita tidak terperanjat mendengar dan membaca 'pendedahan demi pendedahan' oleh Hassan Ali mengenai PAS setelah dia dipecat. Dulu lain, sekarang lain, itulah hakikatnya.

Kita hairan kenapa Hassan Ali membisu seribu bahasa semasa dia bersama-sama dengan 70 peratus golongan sekular dalam PAS? Kenapa dia tidak mendedahkan muslihat DAP untuk bergabung dengan PAP dan membentuk sebuah republik?

Dengan mendiamkan diri, Hassan Ali membuktikan bahawa dia bukan seorang pemimpin sejati yang jujur, jika dia boleh disifatkan sebagai pemimpin, semasa dia bersama-sama dengan orang DAP dan PKR yang membentuk pentadbiran Negeri Selangor. Semasa duduk sebumbung dan tidur sebantal dengan rakan-rakan politiknya itu, Hassan Ali akur dan sokong mereka. Kenapa lain pula ceritanya apabila dipecat?

Orang seperti Hassan Ali tidak boleh dipercayai sama sekali. Dia tidak ubah seperti sesumpah atau lalang yang berlenggang-lenggok mengikut arah tiupan angin.

Jika dia benar-benar jujur dan mengaku sebagai seorang yang memperjuangkan Islam, kenapa dia sanggup bersama-sama orang atau kumpulan yang kini dia begitu marah dan melemparkan bermacam-macam tuduhan?

Siapa parasit? Siapa munafik? Hassan Ali dah tentu ada jawapannya

Hassan Merican

Hassan Marican diketepikan di Malaysia, amat berharga bagi Singapura
Tan Sri Hassan Marican, anak Melayu yang begitu sinonim dengan industri petrolium bukan sahaja di Malaysia bahkan di dunia, semakin mendapat tempat dalam industri berkaitan di Singapura.

Anak Melayu kelahiran Kedah Darul Aman yang menerajui Petronas sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif dari 1995 hingga 2010, akan dilantik Pengerusi Singapore Power Ltd. (SP), menggantikan Ng Kee Choe yang akan bersara pada 12 Jun.

Hassan adalah anak Melayu pertama dilantik ke jawatan tersebut walaupun dia bukan warga negara Singapura bahkan tiada anak Melayu Singapura yang begitu dihargai oleh republik tersebut.

Selepas bersara dari Petronas, Hassan dilantik oleh beberapa buah syarikat gergasi berkaitan kerajaan Singapura untuk menduduki lembaga pengarah. Antara GLC berkenaan adalah SembCorp Industries Ltd., SembCorp Marine Ltd dan SP sendiri.

Selain syarikat gergasi Singapura, kepakaran dan pengalaman luas Hassan dalam industri petrolium turut dihargai oleh gergasi minyak Amerika Syarikat, ConocoPhillips, yang melantiknya sebagai ahli lembaga pengarah dan oleh Kerajaan Negeri Sarawak yang melantik beliau menduduki kerusi lembaga pengarah Sarawak Energy Bhd.

Kepakaran dan pengalaman insan bernama Hassan Marican dilihat, dihargai dan digunapakai oleh Kerajaan Singapura dan syarikat gergasi minyak Amerika Syarikat. Bukan senang bagi pentadbiran Singapura untuk melantik seorang anak Melayu seperti yang dilakukan ke atas Hassan Marican, lebih-lebih lagi dia adalah rakyat Malaysia. Tetapi, oleh kerana Singapura melihat kepada merit seseorang itu dan sedar betapa pentingnya dia kepada industri tertentu, maka mereka terus melantiknya.

Singapura nampak kelebihan yang dimiliki oleh Hassan Marican. Malaysia tidak, kenapa?

Saya mempunyai jawapan yang mungkin tidak tepat tetapi boleh dikatakan itulah kenyataan. Jawapan saya mudah, iaitu Kerajaan Malaysia mengutamakan pelantikan politik daripada profesional. Lihat saja GLC yang ada di Malaysia, siapa pengerusinya dan siapa pula yang dilantik menduduki kerusi lembaga pengarah?

Gergasi ekonomi Malaysia dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti Sime Darby, Felda, Felcra, Risda dan banyak lagi dipengerusikan oleh orang politik, selalunya yang dah bersara, kalah pilihan raya atau Yang Berhormat yang tidak dapat jawatan sedangkan mereka boleh dikatakan bukan golongan profesional yang ada kaitan dengan GLC yang dipengerusikan itu.

Oleh kerana Hassan Marican bukan orang politik tetapi seorang profesional, maka dia tidak mendapat tempat di Malaysia walaupun sebagai Pengerusi Petronas atau Penasihat Ekonomi (berkaitan industri minyak dan gas) kepada Perdana Menteri.

Singapura mengutip permata yang digilap di Malaysia kerana ia masih bersinar dan bergemerlapan sedangkan Malaysia melihatnya sebagai permata yang mulai pudar.

Singapura sedar bahawa Hassan Marican memiliki begitu banyak maklumat dan ilmu pengetahuan berkaitan industri minyak dan gas bukan sahaja di Malaysia bahkan menjangkaui batas serantau. Apa yang dimiliki oleh Hassan Marican sudah tentu diterokai oleh Singapura kerana republik itu tidak perlu untuk "mencari gali" sesuatu yang sudah jelas wujud.

Pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak mesti keluar daripada amalan melantik orang politik menerajui GLC atau sebagai ahli lembaga pengarah. Bidang tersebut seharusnya diberi kepada golongan profesional yang ahli atau mahir dalam industri berkenaan.

Kita tidak ingin melihat lagi orang seperti Hassan Marican diambil oleh negara lain semata-mata kerana negara sendiri mengamalkan pelantikan berkepentingan politik murahan.