Sabtu, 15 November 2008

naik sikit hargaBesi Sekerap Boleh Dieksport, Kata Muhyiddin

14 November, 2008 22:18 PM

Besi Sekerap Boleh Dieksport, Kata Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Kerajaan menarik balik larangan mengeksport besi sekerap atas permintaan industri berkenaan berikutan stok komoditi itu yang sudah bertindan sejak beberapa bulan lepas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu untuk membolehkan pedagang besi sekerap menjual simpanan masing-masing.

"Saya harap langkah itu akan mengatasi masalah aliran tunai dan membantu industri berkenaan bergerak ke depan," katanya di satu sidang media.

Sebelum itu, beliau mengumumkan langkah persediaan untuk menampan impak kemelesetan ekonomi global ke atas sektor perdagangan dan industri Malaysia.

Muhyiddin berkata kementerian itu perlu mewartakan semula keputusan itu, yang bermakna secara pentadbirannya, ia akan dilakukan dalam tempoh sehari atau dua kerana ia baru sahaja dipersetujui hari ini.

Besi sekerap ialah bahan mentah yang digunakan bagi pengeluaran palang keluli.

Muhyiddin sebelum itu mengadakan perbincangan dengan wakil perdagangan dan industri, termasuk Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Menteri itu berkata Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) turut meminta kementerian berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai aturan pembiayaan.

"Syarikat kini menghadapi masalah kerana permintaan merosot dan mereka yang membuat pinjaman bank, perlu membuat bayaran. Ia agak sukar bagi mereka," katanya.

"Mereka berharap aturan boleh dibuat oleh institusi bagi mengurangkan bebanan peminjam terutama PKS. Mungkin memberi kelonggaran dari segi pembayaran... itu yang boleh kami bincangkan," kata Muhyiddin.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: