14 November, 2008 23:50 PM
Malaysia Beku Permit Import Ayam Dari Thailand Ekoran Selesema Burung
PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membekukan permit import ayam bulat dan keratan ayam dari Thailand berkuat kuasa serta merta ekoran laporan merebaknya semula wabak selesema burung di Asia Tenggara.
Menterinya Datuk Mustapa Mohamed berkata pembekuan permit itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga.
"Malaysia mengimport 769 tan metrik ayam dari negara Thailand bagi tempoh September hingga November tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menutup program latihan bagi negara ketiga mengenai selesema burung di sini hari ini.
Namun Mustapa berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana keadaan penyakit itu di dalam negara masih lagi terkawal dan tiada sebarang laporan berhubung kes berkenaan diterima oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar setakat ini.
Ekoran daripada pembekuan permit itu, kementerian berkenaan akan berhubung dengan pihak kastam untuk memastikan kawalan di pintu masuk sempadan dipertingkatkan bagi memastikan ayam dari negara jiran berkenaan tidak diseludup masuk, katanya.
Beliau berkata penbekuan permit import itu tidak akan menjejaskan bekalan ayam dalam negara.
Pada Isnin lepas, Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia melaporkan berlakunya wabak terbaru selesema burung di Sokhotai, Thailand yang melibatkan ayam kampung.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan