Sabtu, 15 November 2008

Pentingnya inovasi dan kreativiti jika kita mahu terus wujud di persada dunia

14 November, 2008 22:27 PM

Sistem IP Kukuh Rangsang Pembangunan Ekonomi Berlandaskan Pengetahuan

Daripada A. Shanty Devi

GENEVA, 14 Nov (Bernama) -- Satu sistem harta intelek (IP) yang kukuh bukan sahaja merangsang malah merupakan komponen penting pembangunan ekonomi berlandaskan pengetahuan sesebuah negara, kata seorang pegawai kanan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO).

"Memikirkan bahawa perlindungan IP tidak penting merupakan satu mitos dan salah faham. IP relevan bagi semua negara yang mahu membina ekonomi," kata Yo Takagi, seorang pengarah eksekutif WIPO.

Pertumbuhan ekonomi hari ini didorong oleh inovasi yang mengatasi sumbangan tenaga buruh dan peningkatan produktiviti di beberapa negara, katanya.

"Perdagangan antarabangsa berasaskan pengetahuan dalam beberapa dekad kebelakangan ini telah meningkat dan secara puratanya di peringkat global ia mengatasi perdagangan produk berasaskan sumber," kata Takagi pada satu seminar mengenai IP di sini, bagi wartawan dari 25 negara membangun dan negara-negara dalam peralihan.

Dari segi agihan eksport produk dikilang global dalam 30 tahun lalu, produk berteknologi pertengahan kekal berada pada kedudukan teratas, manakala produk berteknologi tinggi telah mulai mengatasi produk berteknologi rendah dan produk berasaskan sumber, katanya.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa inovasi dalam semua bidang telah menjadi kuasa penggerak pertumbuhan ekonomi dan dengan ini, undang-undang IP yang baik bagi melindungi pemilik harta sedemikian dan faedah ekonomi yang boleh mereka raih daripada inovasi mereka, menjadi semakin penting, kata Takagi.

"Dua puluh tahun lalu, IP dipinggirkan, tiada siapapun menganggapnya sebagai aspek penting pembangunan ekonomi.

Satu sistem IP yang baik akan memupuk pertumbuhan harta intelek dan melindunginya daripada pelbagai pencabulan (hak)," katanya.

IP secara umumnya disifatkan sebagai ciptaan asli, besar atau kecil, sama ada satu produk yang siap atau sebahagian daripada produk, satu teknologi dan juga karya kreatif seperti reka bentuk dan penulisan, dan ia mungkin merupakan ciptaan sebuah syarikat atau individu.

Ia memberikan pencipta entiti itu hak untuk melindungi karyanya atau entitinya mengikut undang-undang, sama ada melalui pemilikan paten, hakcipta atau tanda perniagaan.

Semua harta intelek adalah alat ekonomi dan dengan demikian haruslah dilindungi dan dihormati sewajarnya.

Tetapi realitinya tidak sentiasa demikian.

Meskipun terdapat undang-undang negara dan antarabangsa berhubung paten, hakcipta dan tanda perniagaan, namun perlanggaran hak begitu banyak dan meluas, serta seringkali merentasi sempadan.

Memang diketahui umum bahawa acara sukan disiarkan secara meluas melalui Internet tanpa kebenaran daripada pemegang lesen yang sah manakala pemalsuan produk jenama popular boleh didapati di kaki lima di banyak negara.

Perlanggaran hak ini sangat banyak berlaku dan bidang IP terus menjadi cabaran utama bagi pembuat dasar serta pengamal undang-undang dalam bidang ini, di tengah-tengah peningkatan cabaran dan teknologi yang muncul daripada media baru seperti Internet.

Antara lain, pendidikan, pewujudan sistem inovasi negara, institusi IP merupakan faktor-faktor yang boleh menyumbang ke arah penggunaan IP sebagai alat bagi pembangunan dan akan juga meningkatkan daya saing sesebuah negara bila menyertai pasaran global, tegas Takagi.

Malaysia merupakan antara negara terawal di rantau Asia yang menandatangani perjanjian WIPO. Pada 2007, Malaysia adalah antara 10 negara membangun terunggul yang memohon paten daripada WIPO.

WIPO dibentuk pada lewat abad ke-19 dengan penerimaan pakai perjanjian IP antarabangsa pertama, iaitu Konvensyen Paris bagi perlindungan harta industri. Hari ini, ia adalah satu daripada 16 agensi khusus Bangsa-Bangsa Bersatu.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: