Selasa, 2 Disember 2008

Bila shah rukh khan bercakap

Ditanya apakah reaksi beliau ketika membaca begitu banyak kritik yang membantah pemberian anugerah 'Datuk' kepadanya, secara sinis Shah Rukh menjawab:

"Saya tidak perlu membaca apa-apa di surat khabar atau internet untuk mengetahui pasal diri saya.

"Saya tahu siapa diri saya. Apa orang tulis tentang saya, samada baik atau buruk tidak akan mengubah apapun persepsi saya. Saya tahu apa yang saya berhak dapat atau tidak dapat.

"Mungkin orang akan cakap saya pentingkan diri saya. Memang betul pun. Tapi itu lah saya. I am my own best friend," kata pelakon hebat yang akan membintangi tiga filem mega tahun depan iaitu - My Name Is Khan, Ravana dan Don 2.

Lagipun, jelasnya, "Saya pernah mendapat Anugerah Padmashree dari Kerajaan India, mendapat penghormatan di Malaysia dan Perancis dan patung saya juga ada dipamerkan di Madame Tussaud, London.

"Saya mendapat bayaran lumayan atas apa yang usahakan. Saya ada rumah yang cantik, keluarga yang bahagia dan sahabat-sahabat yang baik seperti anda semua di Malaysia.

"Apa lagi yang saya mahukan? Saya berasa amat bersyukur pada Tuhan dengan semua anugerah ini. Sebenarnya, saya tak kisah dan ambil pusing apa yang orang nak tulis atau kata pasal diri saya," jelas pelakon yang baru menyambut hari kelahirannya yang ke 43 pada 2 November baru-baru ini.

Shah Rukh yang sudah membintangi filem-filem box office seperti Baazigar, Dilwale Dulhania Le Jayenge, Kuch Kuch Hota Hai, Dil Tu Pagal Hai, Chakde India, Pardes, Kabhi Kushie Kabhi Gham dan Om Shanti Om (antara lain), juga mempunyai satu sikap yang tidak pernah menyesal dengan tindak tanduknya. Mahupun keputusan berlakon dalam apa jua filem.

"Ya, saya tidak pernah menyesal melakonkan apa saja watak yang telah diberikan padanya selama ini.

"Malah, saya rasa bangga dengan semua filem lakonan saya kerana saya telah memberikan yang terbaik. Kenapa saya harus menyesal? Setiap pengambaran merupakan satu pengalaman menarik dan ini tidak akan dapat saya rasai kalau saya tidak berada dalam filem itu. Jadi tidak ada sebab kenapa saya tak bangga dengan semua filem saya," jelas ayah kepada dua orang anak ini.

Dan dalam usia 43 tahun, Shah Rukh menganggap usia begini sebagai 'tidak terlalu muda dan tidak terlalu tua.'

"Saya akan tetap berlakon sehingga usia saya 72 tahun, kalau umur panjang. Dan saya akan masih berlakon dengan gadis-gadis jelita yang saya anggap seperti anak-anak saya.

"Saya tidak boleh bayangkan saya menjadi pengarah kerana saya dilahirkan untuk menjadi pelakon," kata usahawan yang telah mula melebarkan sayapnya ke bidang hartanah di Dubai.

Gelaran Pelakon Bollywood No 1 juga tidak berapa digemari Shah Rukh.

"Nombor atau angka yang saya tahu hanya layak untuk telefon saja. Bagi pekerjaan seperti yang saya lakukan ini, sebetulnya tidak perlu diletakkan nombor.

"Saya cuma tahu berkerja kuat dan melihat hasilnya. Ada yang kata saya Pelakon No 1. Ada yang kata saya Pelakon Corot. Jadi saya binggung.... mana satu yang betul ni?

"Seeloknya saya tidak ambil peduli hal-hal macam ni. Saya hanya perlu kerja kuat kerana ini adalah pekerjaan saya. Lagipun, hanya ada satu Shah Rukh Khan saja dalam dunia ini," katanya mengakhiri perbualan dengan memberi 'Salam'.

Tiada ulasan: