Malaysia Tidak Akan Alami Kemelesetan Pada Tahun Depan, Kata Nor Mohamed
KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan pada tahun depan, khususnya apabila pelaksanaan pelan rangsangan kerajaan mulai menunjukkan hasil menjelang suku tahun pertama, kata Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop hari ini.
"Pada masa ini, mengikut perkiraan kita, tiada kemungkinan negara akan terjerumus ke dalam kemelesetan pada 2009. Perkiraan kita berasaskan senario ekonomi sebenar dan juga berasaskan apa yang akan kita laksanakan," katanya selepas melancarkan Yayasan Ekonomi Sejagat di sini.
Beliau mengulas pertanyaan sama ada wujud kemungkinan Malaysia terjerumus ke dalam kemelesetan pada tahun depan berikutan kemunculan lebih banyak laporan baru yang negatif dari Amerika Syarikat di mana yang terbarunya langkah pembuangan para pekerja secara besar-besaran.
Nor Mohamed berkata apabila kerajaan mula-mula mengumumkan langkah untuk menampan impak berikutan ketidaktentuan ekonomi global, cadangannya ialah untuk melaksanakan langkah berkenaan dengan segera agar impaknya dapat dilihat di dalam tempoh beberapa bulan.
"Kita mahu memastikan bahawa kebanyakan langkah berkenaan dilaksanakan menjelang suku tahun pertama. Ia kemjudiannya akan mempunyai impak ke atas ekonomi," katanya.
Ketika ditanya sama ada inisiatif pembiayaan swasta (PFI) oleh kerajaan sangat perlahan dilaksakan, beliau berkata: "Sama ada projek yang dibiayai secara biasa atau melalui PFI, jika ia berdaya maju, kita akan laksanakannya dengan segera."
Mengenai pengambilan pekerja, Nor Mohamed berkata kerajaan dari semasa ke semasa memastikan bahawa wujud aliran kredit berterusan untuk merangsang aktiviti ekonomi, yang sekaligus menyediakan peluang pekerjaan.
Walaupun berlaku pembuangan pekerja yang kecil bilangannya di sesetengah negeri, katanya ekonomi negara ini masih kukuh, di mana pinjaman tidak berbayar berada pada paras 2.4 peratus dan mempunyai kecairan yang mencukupi di segi kadar simpanan.
"Ia akan menjadi fasa yang mencabar bagi kita untuk tempoh 18 hingga 20 bulan. Kita bukan sahaja akan meneruskan kelangsungan hidup malah akan muncul sebagai sebuah negara yang makmur," katannya.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan