Sabtu, 6 Disember 2008

Honda Racing bungkus

PEMANDU pasukan Honda, Jenson Button (tiga dari kanan) dilihat berbincang dengan jurutera Honda Racing di Brackley, Northamptonshire, London. Walaupun Honda menarik diri daripada perlumbaan musim depan, Button minta pasukannya terus mengekalkan prestasi untuk persediaan perlumbaan 2009.
- AFP

TOKYO - Pembuat kereta kedua terbesar Jepun, Honda semalam mengesahkan untuk menarik diri daripada menyertai perlumbaan Formula Satu (F1) tahun depan ekoran kemelesetan ekonomi global menjadi alasan utama.

Honda turut menyatakan bahawa syarikat pengeluar kereta itu perlu memberi tumpuan kepada perniagaan utama kumpulan perniagaan tersebut.

"Kami telah mencapai kata sepakat untuk menarik diri daripada semua aktiviti F1 dan menjadikan 2008 sebagai musim terakhir pembabitan syarikat dalam sukan ini.

"Ia merupakan satu keputusan yang sukar dilakukan oleh syarikat ekoran bakal berhadapan dengan industri permotoran global yang menjadi semakin buruk pada tempoh masa terdekat.

"Kekalutan tersebut terjadi kerana berlakunya masalah sub prima di Amerika Syarikat, krisis pinjaman yang meruncingkan dan pengecutan ekonomi dunia secara mendadak," kata Ketua Pegawai Eksekutif Honda, Takeo Fukui pada sidang akhbar, semalam.

Fukui berkata, syarikat pengeluar kereta Jepun itu turut berhasrat untuk menjual pasukan perlumbaan, Honda Racing yang dimiliki oleh syarikat tersebut.

"Kami akan memasuki peringkat perbincangan dengan ahli bersekutu Honda Racing dan pembekal enjin pasukan itu, Honda Racing Development berhubung masa depan dua syarikat tersebut.

"Perkara itu turut termasuk penawaran untuk menjual pasukan perlumbaan tersebut," kata Fukui.

Tindakan pengunduran oleh Honda yang merupakan salah satu daripada syarikat pengeluar kereta terbesar dunia pastinya menyebabkan kejutan kepada arena perlumbaan F1.

Penarikan diri syarikat pengeluar kereta Jepun itu mungkin menyaksikan hanya 18 buah kereta yang akan memulakan perlumbaan musim depan.

Pasukan dari Jepun, Super Aguri yang disokong oleh Honda telah pun menarik diri daripada menyertai F1 pada awal musim ini.

Musim 2009 akan memulakan aksinya pada 29 Mac depan di Grand Prix Australia, Melbourne.

Sidang akhbar semalam turut menyaksikan Fukui memohon maaf kepada semua petugas pasukan tersebut dan penyokong-penyokong Honda.

"Pasukan telah melaksanakan tugas dengan cemerlang bagi menghadapi musim 2009 dan saya memohon sebenar-benar kemaafan kepada semua yang terlibat.

"Saya juga ingin memohon kemaafan kepada semua penyokong setia yang telah memberi sokongan selama ini kepada pasukan bagi mengharungi perlumbaan F1," kata Fukui.

Untuk rekod, ini merupakan kali kedua Honda menarik diri dalam arena F1 selepas kali pertama melakukannya pada penghujung tahun 1992.

Tiada ulasan: