Jumaat, 12 Disember 2008

Islam itu lengkap untuk berkehidupan

KRISIS EKONOMI DIJANGKA 'BUKA MATA' DUNIA TERHADAP KEWANGAN ISLAM

Bank Islam lebih selamat kerana pinjaman dan urus niaga perlu disokong aset nyata

Oleh
Mohd Shaffiq Sarudin

SEKTOR perbankan dan kewangan Islam dilihat sebagai alternatif yang menarik berbanding bank konvensional di dalam kemelesetan ekonomi ini.

Ini kerana keyakinan terhadap institusi kewangan Barat semakin menurun setelah berlakunya masalah yang membelenggu institusi besar termasuk Lehman Brothers yang terpaksa mendapatkan perlindungan muflis September lalu.

Di ceramah Potensi Pertumbuhan Kewangan Islam Dalam Krisis Kewangan semalam, rakan kongsi kanan firma Praesidium LLP di Dubai yang turut terlibat dalam melakarkan sistem undang-undang Syariah di Penguasa Khidmat Kewangan Dubai, Cik Hari Bhambra, percaya krisis ekonomi ini akan membuka mata dunia terhadap bank Islam.

'Bank Islam yang menawarkan khidmat kewangan mengikut peraturan Islam dilihat sebagai lebih selamat kerana pinjaman dan urus niaga perlu disokong oleh aset nyata.

'Undang-undang Islam tidak membenarkan penglibatan dalam pelaburan penuh risiko dan kompleks seperti derivatif dan pinjaman subprima yang mengancam sistem kewangan Barat sekarang dan membuat beberapa institusi kewangan Barat menghadapi kerugian,' kata Cik Bhambra di seminar anjuran bersama Pusat Pengajian Kewangan Saw Sekolah Perniagaan NUS dan Institut Sekuriti dan Pelaburan.

Sistem bank Islam memaksa peminjam mengambil risiko bersama dengan pelanggan, lantas ia akan membuat bank lebih berhati-hati dan berusaha supaya perniagaan tidak rugi.

Namun, di sebalik pandangan positif pelabur, ada banyak cabaran yang harus diharungi perbankan Islam.

Pertama, piawaian perbankan Islam yang berbeza di negara-negara Islam seperti di Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Malaysia telah menghalang sektor itu daripada tumbuh lebih pantas.

'Pertelingkahan ini membuat suasana perbankan Islam kurang dijamin. Seorang ulama mungkin akan membenarkan sebuah bentuk pelaburan seperti Murabaha beberapa tahun lalu. Kemudian, ada pula seorang ulama lain yang akan menyangkal keputusan tersebut setelah beberapa tahun berlalu. Ini menimbulkan kebingungan pihak bank dan juga pelanggan,' ujarnya.

Bukan itu sahaja, kekurangan ahli perbankan Islam dan peguam yang boleh menangani kes litigasi telah menghambat perkembangan pelaburan berlandaskan syariah.

Walaupun beliau percaya masalah ini tidak akan dihuraikan dalam masa terdekat, perbankan Islam akan terus berkembang kerana dilihat sebagai lebih selamat untuk pelabur yang risau dengan pergolakan sistem bank konvensional.

Tiada ulasan: