Singapura harap peralihan kuasa di Malaysia lancar
SINGAPURA 5 Dis. - Singapura berharap akan berlakunya peralihan kuasa yang lancar di Malaysia apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya pada Mac depan.
"Saya mengharapkan sebuah peralihan yang lancar dan keadaan politik yang stabil," kata Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengenai Malaysia kepada wartawan asing dalam dialog sambil makan tengah hari di sini hari ini.
Hsien Loong berkata, Malaysia telah berdepan banyak perkembangan besar dalam politik sejak beberapa bulan kebelakangan dan beliau berharap peralihan kuasa di Malaysia akan berjalan dengan baik.
Menurut Hsien Loong, beliau turut berharap agar Singapura dan Malaysia akan meneruskan kerjasama serta meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara di bawah kepimpinan Najib.
Ditanya sama ada pembangunan Iskandar Malaysia di Johor merupakan suatu ancaman atau peluang kepada Singapura, Hsien Loong berkata, "ia adalah satu cabaran kepada kami."
Perdana Menteri itu berkata, jelas bahawa Iskandar Malaysia ingin menyaingi atau mengatasi Singapura tetapi republik pulau itu akan berasa lebih selesa bekerja dengannya.
"Kami merasakan Singapura dan Johor, bersama-sama kita boleh menjadi sebuah pusat pertumbuhan dan berdaya saing yang besar dan akhirnya mewujudkan sebuah jisim kritikal serta memperoleh lebih banyak peluang dan meletakkan diri pada kedudukan untuk pelabur datang membuat pelaburan."
Kata beliau, pelabur asing boleh mengambil peluang daripada apa yang dapat ditawarkan oleh Singapura dan Johor.
Tambah beliau, terdapat lebih banyak pertumbuhan di sekeliling, sambil menambah pertandingan antara dua negara berjiran itu "bukanlah Singapura lawan Johor, sebaliknya Singapura lawan Shenzhen atau Singapura lawan Shanghai atau Singapura lawan Mumbai".
Bagaimanapun, beliau berkata, ada lebih banyak persaingan dan kerjasama dalam ekonomi negara.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan