Selasa, 9 Disember 2008

Untuk mengelakan politik wang ini perlu

Timbalan Presiden : Siapa Najib mahu
Thursday, 27 November 2008

ImagePERTANDINGAN untuk merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO pada Mac nanti sudah tidak dapat dielakkan lagi. Setakat ini tidak ada tanda-tanda antara ketiga-tiga mereka iaitu Muhyiddin Yassin, Muhamnad Muhd Taib dan Ali Rustam untuk berkompromi supaya jawatan tersebut tidak dipertandingkan dan sekali gus mengelak perpecahan serius dalam parti UMNO yang sedang tinggal nyawa-nyawa ikan ini. Pertandingan dan perebutan jawatan dalam UMNO tidak akan dapat membantu UMNO yang agak kritikal ini.

Apa yang jelas ada ialah para penyokong semua calon yang bakal bertanding telah pun memasang strategi untuk memancing perwakilan bagi mengundi calon masing-masing. Di lobi hotel, “coffee house, kedai-kedai makan seluruh Kuala Lumpur menjadi tumpuan kepada pelobi, untuk mereka ini mengangkat kelebihan calon masing-masing. Perwakilan untung dan bukan perwakilan pun tumpang sekaki. Nampaknya ini menjadi agenda utama ahli UMNO buat masa ini dan masing – masing hari ini lupa akan kedudukan sebenar UMNO di mata rakyat.

Namun setakat ini semua mata pemerhati politik sedang tertumpu kepada Dato Seri Najib yang setakat hari ini belum menampakkan secara jelas pendirian serta ketegasan beliau untuk memberikan petanda kepada seluruh perwakilan yang bakal memilih pada Mac nanti, siapa yang beliau mahukan sebagai Timbalan Presiden dan sekali gus membantu beliau untuk memulihkan UMNO menjelang PRU13 nanti.

Tindakan Najib ini secara tidak langsung meletakkan semua perwakilan dalam keadaan tidak menentu apatah lagi sikap membisu Najib seperti mahu membenarkan jawatan Timbalan Presiden itu dipertandingkan tanpa memikirkan kesan jangka panjang terutama sekali untuk PRU13 ini sekiranya ada calon-calon yang tidak berwibawa memenangi jawatan tersebut.

Najib sepatutnya menunjukkan dengan jelas, siapakah yang beliau mahukan untuk digandingkan dengan beliau. Apakah beliau mahu Muhammad Muhd Taib, yang pernah ditangkap oleh kerajaan Australia kerana membawa wang keluar Negara dan disahkan oleh Mahkamah Australia sebagai seorang yang tidak tahu berbahasa Inggeris, pernah menipu Sultan Selangor dan melarikan puteri Sultan Selangor untuk bernikah di Selatan Siam sebagai Timbalan Presiden?

Atau adakah Najib mahu Ali Rustam yang cukup pandai memanipulasikan kedudukannya sebagai Presiden Belia untuk kepentingan politiknya serta pandai menokok tambah kejayaan Melaka dan mengakui itu adalah hasil ideanya sebagai Timbalan Presiden? Adakah Ali yang penuh dengan skandal di Melaka dan Singapura ini sesuai untuk bersama Najib memimpin UMNO?

Dan adakah Najib mahu memilih Muhyiddin Yassin yang sebelum ini begitu bersungguh mahukan perubahan dalam UMNO, begitu bersungguh supaya pelan peralihan kuasa dipercepatkan demi masa depan serta “survival” UMNO, begitu bersungguh mahu melihat UMNO ini kekal sebagai parti dominan dalam Barisan Nasional dan keberanian Muhyiddin inilah juga secara tidak langsung membuka peluang untuk Najib memang tanpa bertanding Presiden UMNO. Apakah tidak Muhyiddin menunjukkan kewibawaannya sebagai pencetus aliran perubahan UMNO. Bukankah perubahan yang di tuntut hari ini?

Malah kedua pemimpin yang turut menawarkan diri bertanding Timbalan Presiden pernah menyindir ketegasan serta keberanian Muhyiddin sebagai penderhaka kepada parti tetapi apabila Pak Lah menerima tekanan daripada Muhyiddin untuk berundur, kedua-dua pemimpin yang pernah menjadi `yes men’ kepada Pak Lah inilah yang terburu-buru menawarkan diri.

Najib tidak ada pilihan. Najib perlu komited tentang siapa yang mahu dipilihnya dan bukan menyerahkan bulat-kepada perwakilan untuk menentukan siapa pilihan mereka. Najib pasti tidak mahu ada di antara mereka nanti menjadi duri dalam daging kepada Najib tetapi kalau Najib kekal dengan sikapnya, yakinlah sejarah membuktikan bahawa UMNO sekali lagi akan berdepan dengan masalah dan akan lebih awal ditalkinkan.

Ketiga-tiga mereka ini akan bertanding dengan kekuatan sendiri. Siapa sahaja yang menang, mereka tidak akan terhutang budi kepada Najib kerana mereka bukan calon pilihan Najib dan mereka ini akan menjadi duri dalam daging kepada Najib sebagaimana Musa Hitam menjadi masalah kepada Mahathir dan sebagaimana Anwar Ibrahim menjadi masalah kepada Mahathir.

Kerana mereka tidak terhutang budi kepada Najib, mereka akan bersedia untuk menentang Najib bila-bila masa sebagaimana Musa menentang Tun Mahathir dan Anwar menentang Tun Mahathir. Lihat bagaimana dan jadikan contoh peralihan kuasa antara Tunku dengan Tun Razak, Tun Razak dan Tun Hussien dan Tun Hussien kepada Mahathir dan Mahathir kepada Pak Lah. Semuanya kerana sikap Presiden.

Najib perlu diingatkan bahawa pasukan UMNO kali ini adalah pasukan untuk menghadapi PRU13. Perwakilan juga harus ingat, pemilihan kali ini adalah penanda aras kepada kemampuan seluruh pemimpin parti untuk menghadapi PRU13, 2012 nanti. UMNO perlu melihat bukan sahaja kepada apa yang ahli mahu tetapi kepada apa yang rakyat harapkan dari UMNO. Benar ahli akan menentukan siapa yang memimpin UMNO tetapi rakyat akan menentukan sama ada UMNO masih relevan atau tidak khususnya terhadap perjuangan Melayu dan memimpin negara ini. Tersalah pilih pemimpin, bersedialah untuk menangisi sebuah perjuangan Melayu yang akhir terkubur.

Tiada ulasan: