Hanya dua jemaah gagal sempurnakan ibadah haji
Oleh HAMDEN RAMLI
SEPANG 12 Dis. - Hanya dua daripada 26,000 jemaah haji Malaysia gagal menyempurnakan ibadah pada tahun ini kerana masalah kesihatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, dua jemaah tersebut merupakan antara lebih 30 jemaah sakit yang dirawat di pusat perubatan dan hospital sekitar Mekah.
"Yang lain kita berjaya membawa mereka mengerjakan wukuf di Padang Arafah menggunakan 30 ambulans. Daripada jumlah itu tujuh ambulans milik Lembaga Tabung Haji manakala selebihnya kita sewa.
"Seboleh-bolehnya kita akan mempastikan setiap jemaah haji yang jatuh sakit, selagi mereka dalam keadaan sedar dan stabil, dibawa ke Arafah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar setibanya dari Mekah selepas mengerjakan rukun Islam kelima itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, sehingga semalam jumlah jemaah Malaysia yang meninggal dunia adalah seramai 31 orang.
Katanya, kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 300 orang dijangka tiba di tanah air pada Isnin ini.
Beliau menambah, kumpulan itu termasuk 23 jemaah sakit yang telah diberikan surat keizinan oleh doktor di tanah suci untuk dibawa pulang bagi mendapatkan rawatan lanjut Malaysia.
"Pada masa ini semua jemaah kita telah meninggalkan Mina dan berada di Mekah. Kumpulan jemaah yang akan ke Madinah dijangka bertolak pada 16 Disember ini," katanya.
Ahmad Zahid berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan perjalanan urusan haji tahun ini yang bebas daripada sebarang insiden yang tidak diingini.
"Kerajaan Arab Saudi telah menyediakan kemudahan yang baik termasuk mengatasi kesukaran melakukan ibadah melontar di Jamrah dengan membina jambatan bertingkat.
"Apa yang membanggakan kita ialah jambatan empat tingkat itu dibina oleh lebih 100 jurutera dan pasukan teknikal dari Malaysia," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan