Selasa, 9 Disember 2008

Budak bola sepak majoritinya IQnya rendah dan bermasalah?

Kesilapan Penjaga Gol Bawa Padah Kepada Malaysia

Oleh D. Arul Rajoo

PHUKET, 8 Dis (Bernama) -- Kesilapan penjaga gol Mohd Helmi Eliza Elias menyaksikan Malaysia berdepan dengan prospek pulang awal daripada Kejohanan Bolasepak Piala Suzuki AFF apabila tewas 2-3 kepada Vietnam pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Surakul di sini hari ini.

Pada perlawanan itu, Malaysia bangkit untuk menyamakan kedudukan 2-2 tetapi kesilapan Mohd Helmi keluar dari garisan empat minit sebelum wisel penamat membawa padah kepada skuad negara.

Pemain gantian Nguyen Vu Phong mendenda Mohd Helmi dengan melakukan "chip" ke gawang kosong untuk gol kemenangan Vietnam pada minit ke-86.

Berbekal dengan hanya tiga mata selepas mengatasi Laos 3-0, Malaysia kini menghadapi laluan sukar ke separuh akhir apabila terpaksa mengutip mata penuh ke atas tuan rumah Thailand Rabu ini.

Indra Putra Mahayuddin menjaring kedua-dua gol pasukan negara pada minit ke-19 dan 83 tetapi usahanya itu tidak membawa makna apabila Vietnam mengutip mata kemenangan, sekaligus menghidupkan peluang ke separuh akhir.

Vietnam, yang sebelum ini, tewas kepada Thailand 0-2, dijangka tidak akan menghadapi masalah mengutip mata penuh ke atas Laos pada perlawanan akhir kumpulan.

Sebaik sahaja perlawanan bermula, Malaysia mempunyai peluang untuk membuka jaringan tetapi Mohd Safee Mohd Sali terlambat sedikit untuk menyambung hantaran Mohd Zaquan Adha.

Semasa serangan balas, Vietnam berjaya mengambil kesempatan untuk membuka jaringan pada minit ke-15 apabila Mohd Helmi bertindak lambat untuk menyelamatkan tendangan Pham Thanh Luong.

Empat minit kemudian, Malaysia menyamakan kedudukan menerusi Indra Putra yang sambar bola muntah penjaga gol Vietnam Duong Hong Son, hasil tendangan kencang Mohd Safee.

Jaringan itu mendapat bantahan keras pemain dan jurulatih Vietnam, Henrique Da Silva Calisto, yang mendakwa Indra Putra berada dalam keadaan "off-side" tetapi pengadil P. Pandian tetap dengan keputusan membenarkan gol penyamaan itu.

Pengadil juga mengarahkan Calisto untuk duduk di bangku penonton dan walapun begitu tindakan jurulatih itu menggantikan ketua pasukan Nguyen Minh Phuong dengan Nguyen Vu Phong pada minit ke-56 membuahkan hasil.

Pemain gantian itu membalas keyakinan jurulatih itu dengan menyumbat dua gol pada minit ke-71 dan 86.

Calisto, yang duduk di galeri awam, hampir mencetuskan kekecohan apabila beliau melompat ke kawasan yang diduduki oleh media Malaysia dan menjerit selepas Vietnam menjaringkan gol kemenangan.

Jurulatih negara B. Sathianathan menyalahkan Mohd Helmi atas kekalahan itu dan memuji pemain lain kerana menunjukkan komitmen dan sikap tidak menyerah kalah.

"Dia adalah penjaga gol terbaik negara tetapi malam ini, kesilapannya membawa padah kepada kita," katanya selepas pertemuan itu.

Sementara itu, pertemuan terakhir skuad negara dengan Thailand akan diadakan di sini seperti jadual asal selepas Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) menerima bantahan Malaysia.

Semalam, AFF membuat keputusan untuk memindahkan tempat pertemuan Malaysia-Thailand dari Phuket ke Bangkok tetapi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar surat membantah.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Thailand Ong-Arj Kosinkar berkata rancangan menukar venue ke Bangkok adalah kerana ketiadaan stadium sesuai di sini untuk mengadakan perlawanan serentak antara Malaysia-Thailand dan Vietnam menentang Laos.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: